Monday, 24 February 2014

MODUL LDK: Aku dan kawan-kawan...

Modul ini telah dilaksanakan untuk pelajar Tingkatan 5 pelajar MRSM Kuala Berang 2014 dalam rancangan Program Gemilang di awal tahun. Modul ini lebih serius kerana direka khas sesuai dengan situasi-situasi realiti yang berlaku dalam kehidupan seharian pelajar agar mereka terhindar dari terlibat dengan gejala negatif; juga memupuk budaya membantu rakan yang mempunyai masalah.

Bagi fasilitator yang ingin mengolah modul ini dan membuat kesimpulan perlu memahami keadaan pelajar itu sendiri. Bagi maktab ini, pelajar-pelajarnya berasal dari sekolah yang berbeza dan memasuki maktab ini sewaktu mereka Tingkatan 4. Oleh itu banyak budaya asal yang dibawa dari sekolah masing-masing menyebabkan berlaku kepelbagaian budaya, pendapat dan sikap; sehingga kadang-kadang mencetuskan pertembungan. Pada peringkat ini, mereka berusaha untuk mengenal antara satu sama lain, berusaha menonjolkan diri, mencari kawan dan identiti. (Mohon sematkan dalam minda, semua pelajar adalah pelajar yang pintar, cemerlang dan secara fitrah baik sikapnya).

Terdapat 6 situasi kesemuanya. Saya hanya memuatkan 3 situasi untuk entri kali ini. Masa yang diambil bagi menjalankan keseluruhan aktiviti ini adalah selama 2 jam.


Sekadar gambar hiasan
SITUASI 1: GADUH

            Pada hari Rabu jam 8.45 malam baru-baru ini, anda berjalan menuju ke Bangunan Akademik dari asrama/bilik melalui PSP. Sedang anda bersemangat untuk menjalani sesi ‘prep’, tiba-tiba anda terlihat kelibat beberapa orang pelajar di belakang Bangunan Pentadbiran. Anda merasa curiga dengan keadaan mereka kerana anda juga mendengar suara menengking. Walaupun begitu, anda tetap meneruskan perjalanan anda ke Bangunan Akademik kerana merasakan hal itu tiada kaitan dengan anda. Meskipun anda tidak pasti apa yang berlaku di belakang Bangunan Pentadbiran tersebut, entah mengapa situasi itu agak mengganggu fikiran anda pada malam itu.

Keesokan hari anda mendapat tahu bahawa seorang dari rakan bilik anda terlibat dalam satu kes pukul beramai-ramai yang berlaku malam tadi di tempat yang sama, tempat anda terlihat kelibat pelajar berkumpul dan nyatalah rakan bilik anda merupakan antara pelajar yang anda lihat malam tadi. Rakan bilik anda akan dibicarakan dalam JDRM dan akan dijatuhkan hukuman sama ada digantung, ditukar maktab atau dibuang dari bersekolah di mana-mana MRSM. 

Bincangkan punca, akibat, penyelesaian dan peranan setiap pihak kepada situasi seperti di atas yang juga berlaku secara realiti dalam kehidupan anda.


 SITUASI 2: COUPLE-DATING

            Pada tahun ini usia anda akan menginjak ke 17 tahun menandakan anda semakin dewasa. Ciri-ciri fizikal dan juga emosi anda semakin berkembang secara biologinya akibat rembesan hormone testosterone dan juga progesterone. Anda amat berkeinginan untuk berkawan baik dengan rakan yang berlainan jantina. Lagipun ini merupakan tahun ke-2 anda berada di MRSM Kuala Berang dan hanya tahun ini merupakan kesempatan yang ada untuk mengenali rakan-rakan dengan lebih rapat.

            Anda juga telah diingatkan oleh ibu bapa agar belajar bersungguh-sungguh mencapai kecemerlangan. Justeru itu, anda berazam untuk memberikan komitmen yang sepenuhnya terhadap pelajaran kerana bakal menghadapi peperiksaan SPM pada akhir tahun. Tidak lama kemudian, Februari menjelma dan tanpa disangka-sangka anda menerima SMS daripada seorang rakan batch anda (berlainan jantina) yang menyatakan kesudian beliau untuk mengenali diri anda dengan lebih dekat bukan sekadar seorang rakan biasa malah lebih rapat dari itu. Dia merupakan seorang yang kelihatannya bertanggungjawab dan cemerlang dalam akademik serta berjanji kepada anda untuk mencari kesempatan agar dapat belajar bersama-sama untuk menghadapi setiap peperiksaan yang bakal menjelma. Anda dalam dilemma sama ada ingin menerima atau menolak pelawaan keemasan itu memandangkan beliau adalah pelajar yang berwibawa dan dikenali ramai. Lagipun terdapat ramai rakan-rakan anda yang juga ‘bercouple’ dan sering ‘berdating’. Anda bertanya pendapat rakan-rakan mengenai hal itu. Ramai yang bersetuju agar menerima pelawaan tersebut dan sedikit yang membantah.

            Berbekalkan nasihat dari rakan-rakan, anda menerima pelawaan tersebut dan mula berjumpa untuk belajar bersama-sama dengan niat mencapai kecemerlangan. Walaupun merasa segan dan malu pada mulanya, tambahan pula diusik rakan-rakan yang lain, anda tetap meneruskan berjumpa dengannya. Anda merasa sangat bahagia kerana setiap waktu terisi, jika tidak dengan pelajaran, dengan celotehnya yang comel dan mengambil berat tentang diri anda. Lama-kelamaan anda semakin berani berjumpa dengannya berdua-duaan sahaja, ‘Nak bincang soal hati’, katanya. Semakin lama, semakin kerap anda berjumpa berdua-duaan. Anda merasa semakin sayang kepadanya dan juga sanggup melakukan apa sahaja demi membahagiakan dirinya. Benarlah kata-kata ‘Cinta itu buta’. Julai 2014 menjadi sejarah hitam kerana anda ditangkap berdua-duaan dalam keadaan yang mencurigakan oleh Ketua Warden.

Bincangkan punca, akibat, penyelesaian dan peranan setiap pihak kepada situasi seperti di atas yang juga berlaku secara realiti dalam kehidupan anda.


 SITUASI 3: ASOBIYAH

‘Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengucapkan tahniah atas kejayaan anda dipilih masuk ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Butir-butir tawaran adalah seperti berikut:’

             Demikian antara kandungan surat yang anda terima di awal tahun 2013 menandakan permohonan anda untuk ke MRSM berjaya. Anda dan keluarga amat gembira, tambahan pula anda ditempatkan di MRSM Kuala Berang, tidak jauh dari kediaman anda. Anda telah membayangkan suasana pembelajaran yang kondusif dan rakan-rakan yang sangat membantu yang akan anda kenali. Masakan tidak, rakan-rakan yang belajar di sana pastilah yang akan bersama-sama berusaha mengejar cita-cita.

            Anda ditempatkan dengan rakan sebilik dari negeri lain. ‘Alahai, susahnya nak bercakap. Selalunya perlu diulang berkali-kali. Rakan bilikku sukar mengerti percakapanku. Aku berusaha bercakap bahasa “standard”. Tapi cakapku sering diajuk dan diketawakan. Lucu katanya.’

            Anda merasa malu dan mengurangkan bercakap dengan mereka. Walhal banyak perkara yang ingin dikongsi bersama. Anda menjadi lebih pendiam apabila bersama dengan mereka. Tapi anda banyak bercakap dan merasa sangat selesa apabila bersama dengan rakan senegeri. Jadi anda sering berkumpul bersama dengan rakan senegeri anda sahaja. Sering kali juga anda tidak puas hati kepada rakan anda dari negeri lain yang lebih menonjol kerana percakapannya yang lancar dengan guru-guru dan sering diminta mempengerusikan majlis atau pun acara di maktab. Apabila rakan anda itu bercakap, dia kelihatan yakin dan pendapat yang dikemukakannya kedengaran hebat serta sering diterima ramai.

            Pernah sekali anda terdengar perbualan rakan bilik anda mengatakan kurang menggemari rakan senegeri anda yang lain kerana tidak terbuka, malu untuk kehadapan dan sukar menerima pandangan orang lain, seperti orang kampung katanya. Anda tidak suka dengan keadaan ini tetapi keadaan ini berterusan sehingga ke Tingkatan 5.

Bincangkan punca, akibat, penyelesaian dan peranan setiap pihak kepada situasi seperti di atas yang juga berlaku secara realiti dalam kehidupan anda.






p/s: 3 situasi lain dalam entri seterusnya...SINI

No comments:

Post a Comment