Tuesday 25 February 2014

MODUL LDK: Aku dan kawan-kawan...II


...Sambungan dari situasi 1, 2 & 3 SINI

SITUASI 4: PENTINGKAN DIRI


            Anda meminati matapelajaran akaun kerana telah menetapkan cita-cita semenjak Tingkatan 1 lagi untuk menjadi Akauntan. Keluarga anda sering mendorong anda bagi mencapai cita-cita tersebut. Justeru itu anda memilih untuk belajar di MRSM Kuala Berang. Anda beruntung kerana anda mudah memahami pengajaran guru akaun di sekolah dan dia sangat membantu pelajar-pelajarnya. Anda sering mendapat markah paling tinggi di kalangan rakan-rakan anda.


Pada bulan September 2013, kelas anda menerima kemasukan seorang rakan yang bertukar kelas. Sebelum ini dia berada di kelas Sains Tulen yang mengambil matapelajaran Biologi. Rakan baru anda kelihatan agak sukar memahami matapelajaran Akaun. Anda tahu rakan anda itu tentunya amat memerlukan bantuan rakan-rakan yang lain terutamanya diri anda. Seringkali rakn anda tersebut meminta bantuan dari anda dan rakan-rakan yang lain, tapi kesemuanya tidak ingin membantu. Antara alasan yang anda sering fikirkan untuk membenarkan perbuatan tersebut adalah anda amat gemar untuk mengulangkaji pelajaran seorang diri dan sukar memahami pelajaran sekiranya belajar secara beramai-ramai. Lagipun anda merasa agak tidak selesa untuk berkawan dengan rakan anda tersebut. ‘Pelajar dari aliran Sains Tulen lah katakan….berlagak macam pandai.’ Itulah antara kata-kata yang sering dinyatakan oleh anda dan rakan-rakan yang lain.


Tidak lama selepas itu Peperiksaan Akhir Semester 2 dijalankan dan keputusan yang anda peroleh amat cemerlang seperti yang dijangka. Malang bagi rakan anda tersebut yang mendapat markah yang tercorot. Disebabkan markahnya yang amat rendah, peratus matapelajaran Akaun jatuh. Rakan anda sangat kecewa. Disebabkan itu dia menjadi lebih pendiam dan murung. Anda sering melihat dia berseorangan dan ada ketikanya menangis seorang diri.


Bincangkan punca, akibat, penyelesaian dan peranan setiap pihak kepada situasi seperti di atas yang juga berlaku secara realiti dalam kehidupan anda.





SITUASI 5: MEROKOK



            Hari Sabtu minggu ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu kerana merupakan giliran pelajar lelaki untuk keluar ‘outing’. Anda mempunyai beberapa barangan untuk dibeli antaranya buku log, keperluan mandi dan makanan ringan. Anda berjalan bertiga bersama-sama dengan rakan sekelas. Tiba di satu kedai, dua ornag rakan anda meminta anda berhenti di satu kedai makan, mereka hanya masuk seketika dan terus keluar. Anda pun tidak mengetahui apa yang mereka beli dan anda tidak bertanya kerana tidak mahu menyibuk urusan rakan anda. Anda bertiga pergi ke kedai beberapa buah kedai untuk membeli keperluan yang telah disenaraikan.


            Sedang anda semua membeli, perut masing-masing berbunyi menandakan lapar. Anda semua berhenti makan di satu kedai makan. Alhamdulillah anda merasa kenyang, makanannya pun sangat lazat. Tiba-tiba rakan anda mengajak pergi ke satu sudut yang agak tersorok dari pandangan manusia lain dan alngkah terkejutnya anda apabila mereka masing-masing mengeluarkan rokok. Anda tidak tahu apa yang patut dilakukan, nak larikan diri bimbang rakan anda terasa hati, nak kekal berada di situ terasa salah. Rakan anda menyedari keresahan diri anda. “Alah, relax je la. Cubalah sekali, baru tau camne nikmatnya.” Pada mulanya anda menolak pelawaan tersebut. Lama kelamaan anda mencuba sekali dan batuk pada mula-mulanya. Rakan anda terus memberikan galakan. Dan anda mencuba untuk kali yang seterusnya.


            Balik ke asrama, rakan anda mengamanahkan anda untuk menyimpan rokok tersebut. Anda serba salah kerana bimbang tertangkap. Tambahan pula anda juga merokok bersama-sama dengan mereka. Anda memikirkan beberapa idea untuk menyorok rokok tersebut agar tidak dijumpai. Akhirnya anda membuat keputusan untuk menyorokkan rokok tersebut di dalam baldi yang dipenuhi air dan baju-baju kotor. Anda mula membungkus berlapis-lapis rokok tersebut dengan plastic. “Pastilah tak de sape yang sangka ada rokok dalam tu”, gumam anda sendirian sambil tersenyum puas hati. Tanpa anda sedari, perbuatan anda tersebut diperhatikan oleh salah seorang penghuni asrama.


            Keesokan hari, anda ke sekolah seperti biasa. Tiba-tiba pada waktu rehat, anda diminta berjumpa dengan Ketua Warden. Rupa-rupanya Ketua Warden menjumpai rokok yang anda sorok di dalam baldi tersebut. Malang bagi anda disoal siasat dan bakal menerima hukuman.


Bincangkan punca, akibat, penyelesaian dan peranan setiap pihak kepada situasi seperti di atas yang juga berlaku secara realiti dalam kehidupan anda.




SITUASI 6: KECURIAN


            Persekolahan semester dua baru bermula. Walaupun terasa malas yang amat sangat untuk ke sekolah, anda terpaksa gagahkan diri kerana itulah lumrah kehidupan sebagai seorang pelajar sekolah demi menjadi seorang insan yang berjaya kelak. Ibu membekalkan dengan beberapa jenis makanan iaitu nasi berlauk dan makanan ringan. Ayah pula menghulurkan duit. Kesemuanya duit RM10 sebanyak 15 keping yang berjumlah RM150. Ibu memesan agar meletakkan duit itu di beberapa tempat yang berbeza bimbang ada pelajar yang panjang tangan di asrama mengambilnya. Jadi untuk tujuan mengurangkan kerugian jika kejadian kecurian berlaku, aku menurut pesan ibu. Ibu juga meminta aku mengamalkan doa ini. Katanya untuk elakkan kecurian. Aku membacanya, ‘Bismillahi tawakkaltu alallah, la hawla wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim’ (Dengan nama Allah aku berserah diri kepada Allah, tidak ada daya upaya dan tenaga melainkan dengan (pertolongan) Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung).


            Setibanya di asrama, aku merasa agak sayu kerana masih teringatkan rumah dan keluarga. Walaupun begitu aku tetap merasa seronok berjumpa dengan rakan-rakan. Setelah semingggu bersekolah, tiba-tiba kami dikejutkan dengan kes kecurian. Beberapa orang pelajar dari kelas aku dan dua kelas yang lain kehilangan duit sewaktu kami ke makmal sains dan ke Pusat Sumber. Masing-masing mula mengesyaki antara satu sama lain dan tuduh-menuduh berlaku. Yang dituduh pula memberikan alibinya.


Keesokan hari, beberapa orang pelajar dipanggil oleh warden untuk disoal siasat. Aku termasuk mereka yang disoal siasat. Sewaktu aku disoal, warden sering bertanyakan mengenai ‘partner’ku dalam kelas. Baru aku tahu warden mengesyaki rakanku itu yang mencuri. Apabila aku imbas kembali, rakanku itu sememangnya patut diragui kerana dia sering ke tandas pada hari berlakunya kecurian. Katanya sakit perut sebab makan sambal nasi lemak. Dan baru-baru ini dia berbelanja mewah di kantin dan koperasi. Namun aku mengagak duitnya banyak sebab semua pelajar akan membawa duit yang banyak pada awal sesi persekolahan. Aku agak terkejut sekiranya rakanku itu benar-benar mencuri kerana dia bukanlah orang susah.


Akhirnya rakanku itu turut disoal siasat setelah warden menemui bukti yang kukuh dan nyatalah dia pencurinya. Walaupun aku merasa sedih atas kejadian itu, aku juga merasa bersyukur kerana duit aku tidak dicuri olehnya. Akhirnya rakanku itu dibuang maktab. Ibu dan bapanya membayar jumlah duit yang dicurinya dengan rasa malu dan amat bersalah akibat perbuatan anak mereka.

Bincangkan punca, akibat, penyelesaian dan peranan setiap pihak kepada situasi seperti di atas yang juga berlaku secara realiti dalam kehidupan anda.


p/s: Beberapa situasi lain yang tidak dijadikan modul; hubungan dengan guru dan bersikap sambil lewa.

No comments:

Post a Comment