...Sambungan dari situasi 1, 2 & 3 SINI
SITUASI 4: PENTINGKAN
DIRI
Anda meminati matapelajaran akaun
kerana telah menetapkan cita-cita semenjak Tingkatan 1 lagi untuk menjadi
Akauntan. Keluarga anda sering mendorong anda bagi mencapai cita-cita tersebut.
Justeru itu anda memilih untuk belajar di MRSM Kuala Berang. Anda beruntung
kerana anda mudah memahami pengajaran guru akaun di sekolah dan dia sangat
membantu pelajar-pelajarnya. Anda sering mendapat markah paling tinggi di
kalangan rakan-rakan anda.
Pada bulan September 2013, kelas anda menerima kemasukan seorang
rakan yang bertukar kelas. Sebelum ini dia berada di kelas Sains Tulen yang
mengambil matapelajaran Biologi. Rakan baru anda kelihatan agak sukar memahami
matapelajaran Akaun. Anda tahu rakan anda itu tentunya amat memerlukan bantuan
rakan-rakan yang lain terutamanya diri anda. Seringkali rakn anda tersebut
meminta bantuan dari anda dan rakan-rakan yang lain, tapi kesemuanya tidak
ingin membantu. Antara alasan yang anda sering fikirkan untuk membenarkan
perbuatan tersebut adalah anda amat gemar untuk mengulangkaji pelajaran seorang
diri dan sukar memahami pelajaran sekiranya belajar secara beramai-ramai.
Lagipun anda merasa agak tidak selesa untuk berkawan dengan rakan anda tersebut.
‘Pelajar dari aliran Sains Tulen lah katakan….berlagak macam pandai.’ Itulah antara
kata-kata yang sering dinyatakan oleh anda dan rakan-rakan yang lain.
Tidak lama selepas itu Peperiksaan Akhir Semester 2
dijalankan dan keputusan yang anda peroleh amat cemerlang seperti yang
dijangka. Malang bagi rakan anda tersebut yang mendapat markah yang tercorot.
Disebabkan markahnya yang amat rendah, peratus matapelajaran Akaun jatuh. Rakan
anda sangat kecewa. Disebabkan itu dia menjadi lebih pendiam dan murung. Anda
sering melihat dia berseorangan dan ada ketikanya menangis seorang diri.
Bincangkan
punca, akibat, penyelesaian dan peranan setiap pihak kepada situasi seperti di
atas yang juga berlaku secara realiti dalam kehidupan anda.
SITUASI 5:
MEROKOK
Hari Sabtu minggu ini merupakan hari
yang ditunggu-tunggu kerana merupakan giliran pelajar lelaki untuk keluar
‘outing’. Anda mempunyai beberapa barangan untuk dibeli antaranya buku log,
keperluan mandi dan makanan ringan. Anda berjalan bertiga bersama-sama dengan
rakan sekelas. Tiba di satu kedai, dua ornag rakan anda meminta anda berhenti
di satu kedai makan, mereka hanya masuk seketika dan terus keluar. Anda pun
tidak mengetahui apa yang mereka beli dan anda tidak bertanya kerana tidak mahu
menyibuk urusan rakan anda. Anda bertiga pergi ke kedai beberapa buah kedai
untuk membeli keperluan yang telah disenaraikan.
Sedang anda semua membeli, perut
masing-masing berbunyi menandakan lapar. Anda semua berhenti makan di satu kedai
makan. Alhamdulillah anda merasa kenyang, makanannya pun sangat lazat. Tiba-tiba
rakan anda mengajak pergi ke satu sudut yang agak tersorok dari pandangan
manusia lain dan alngkah terkejutnya anda apabila mereka masing-masing
mengeluarkan rokok. Anda tidak tahu apa yang patut dilakukan, nak larikan diri
bimbang rakan anda terasa hati, nak kekal berada di situ terasa salah. Rakan
anda menyedari keresahan diri anda. “Alah, relax je la. Cubalah sekali, baru
tau camne nikmatnya.” Pada mulanya anda menolak pelawaan tersebut. Lama
kelamaan anda mencuba sekali dan batuk pada mula-mulanya. Rakan anda terus
memberikan galakan. Dan anda mencuba untuk kali yang seterusnya.
Balik ke asrama, rakan anda
mengamanahkan anda untuk menyimpan rokok tersebut. Anda serba salah kerana
bimbang tertangkap. Tambahan pula anda juga merokok bersama-sama dengan mereka.
Anda memikirkan beberapa idea untuk menyorok rokok tersebut agar tidak
dijumpai. Akhirnya anda membuat keputusan untuk menyorokkan rokok tersebut di
dalam baldi yang dipenuhi air dan baju-baju kotor. Anda mula membungkus
berlapis-lapis rokok tersebut dengan plastic. “Pastilah tak de sape yang sangka
ada rokok dalam tu”, gumam anda sendirian sambil tersenyum puas hati. Tanpa
anda sedari, perbuatan anda tersebut diperhatikan oleh salah seorang penghuni
asrama.
Keesokan hari, anda ke sekolah
seperti biasa. Tiba-tiba pada waktu rehat, anda diminta berjumpa dengan Ketua
Warden. Rupa-rupanya Ketua Warden menjumpai rokok yang anda sorok di dalam
baldi tersebut. Malang bagi anda disoal siasat dan bakal menerima hukuman.
Bincangkan
punca, akibat, penyelesaian dan peranan setiap pihak kepada situasi seperti di
atas yang juga berlaku secara realiti dalam kehidupan anda.
SITUASI 6:
KECURIAN
Persekolahan semester dua baru
bermula. Walaupun terasa malas yang amat sangat untuk ke sekolah, anda terpaksa
gagahkan diri kerana itulah lumrah kehidupan sebagai seorang pelajar sekolah
demi menjadi seorang insan yang berjaya kelak. Ibu membekalkan dengan beberapa
jenis makanan iaitu nasi berlauk dan makanan ringan. Ayah pula menghulurkan
duit. Kesemuanya duit RM10 sebanyak 15 keping yang berjumlah RM150. Ibu memesan
agar meletakkan duit itu di beberapa tempat yang berbeza bimbang ada pelajar
yang panjang tangan di asrama mengambilnya. Jadi untuk tujuan mengurangkan
kerugian jika kejadian kecurian berlaku, aku menurut pesan ibu. Ibu juga
meminta aku mengamalkan doa ini. Katanya untuk elakkan kecurian. Aku
membacanya, ‘Bismillahi tawakkaltu alallah, la hawla wala quwwata illa billahil
'aliyyil 'azim’ (Dengan nama Allah aku berserah diri kepada Allah, tidak ada
daya upaya dan tenaga melainkan dengan (pertolongan) Allah Yang Maha Tinggi
lagi Maha Agung).
Setibanya di asrama, aku merasa agak
sayu kerana masih teringatkan rumah dan keluarga. Walaupun begitu aku tetap
merasa seronok berjumpa dengan rakan-rakan. Setelah semingggu bersekolah,
tiba-tiba kami dikejutkan dengan kes kecurian. Beberapa orang pelajar dari
kelas aku dan dua kelas yang lain kehilangan duit sewaktu kami ke makmal sains dan
ke Pusat Sumber. Masing-masing mula mengesyaki antara satu sama lain dan
tuduh-menuduh berlaku. Yang dituduh pula memberikan alibinya.
Keesokan hari, beberapa orang pelajar dipanggil oleh warden
untuk disoal siasat. Aku termasuk mereka yang disoal siasat. Sewaktu aku
disoal, warden sering bertanyakan mengenai ‘partner’ku dalam kelas. Baru aku
tahu warden mengesyaki rakanku itu yang mencuri. Apabila aku imbas kembali, rakanku
itu sememangnya patut diragui kerana dia sering ke tandas pada hari berlakunya
kecurian. Katanya sakit perut sebab makan sambal nasi lemak. Dan baru-baru ini
dia berbelanja mewah di kantin dan koperasi. Namun aku mengagak duitnya banyak
sebab semua pelajar akan membawa duit yang banyak pada awal sesi persekolahan.
Aku agak terkejut sekiranya rakanku itu benar-benar mencuri kerana dia bukanlah
orang susah.
Akhirnya rakanku itu turut disoal siasat setelah warden
menemui bukti yang kukuh dan nyatalah dia pencurinya. Walaupun aku merasa sedih
atas kejadian itu, aku juga merasa bersyukur kerana duit aku tidak dicuri
olehnya. Akhirnya rakanku itu dibuang maktab. Ibu dan bapanya membayar jumlah
duit yang dicurinya dengan rasa malu dan amat bersalah akibat perbuatan anak
mereka.
p/s: Beberapa situasi lain yang tidak dijadikan modul; hubungan dengan guru dan bersikap sambil lewa.